SALAM IKHLAS PENUH UKHWAH!



Friday, June 6, 2008

Resipi maut ‘ubat papan’


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Menakutkan apabila pelbagai jenis ‘ubat papan’ dijual di pasaran tidak hanya dicampur steroid berlebihan, malah mengandungi kandungan cat jalan raya berplumbum, kimia pengilat lantai serta logam berat rencah sebagai resipi utamanya.

Ini berdasarkan ujian dilakukan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan yang mendapati ‘ubat papan’ terbabit langsung tidak mempunyai kandungan herba, akar kayu, pati ikan haruan serta ikan linang atau khasiat seperti dinyatakan pada bungkusan produk.

Kebanyakan ‘ubat papan’ terbabit yang kebanyakannya dijual di kedai runcit diedarkan secara haram oleh pengedar hantu yang sehingga kini gagal diberkas Bahagian Penguat Kuasa Farmasi berikutan kecekapan mereka menyembunyikan diri.

Berdasarkan tinjauan terbaru Bahagian Penguat Kuasa Farmasi terdapat lebih 25 jenis ‘ubat papan’ dijual berleluasa di pasaran dengan jenama terkenal ‘Kapsul Akar Kayu’, ‘Kapsul Ajaib’, ‘Cikungunya’, ‘Asam Urat’, ‘Herba Ikan Haruan Asli’, ‘Maajun Kuat’ dan ‘Pil Tupai Jantan Asli’.




Sumber Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan berkata, lambakan pelbagai jenis ‘ubat papan’ terbabit semakin serius berikutan mendapat permintaan tinggi di kalangan penduduk luar bandar selain pekerja asing yang kurang faham kandungannya.


Katanya, ini disebabkan ‘ubat papan’ bukan saja murah hingga ada RM1 sepeket, tetapi juga diseludup dari Indonesia.

Menurutnya, siasatan mendapati pengedar ‘ubat papan’ itu meletakkan alamat palsu pada bungkusan produk.

“Mereka yang sebelum ini meletakkan alamat palsu kilang di Kedah atau Perak kini mempamerkan alamat baru di Kota Kinabalu atau Ranau, Sabah. Ada antaranya menggunakan nombor pendaftaran palsu pada label produk.

“Agak sukar membongkar kegiatan sebenar sindiket ubat haram ini yang bergerak seperti gerila. Mereka biasanya meletakkan ubat haram terbabit di kedai atau restoran tanpa memberi resit atau nombor telefon syarikat untuk dihubungi,” katanya.

Sumber itu juga mendedahkan kandungan ‘ubat papan’ berkenaan lebih tertumpu kepada steroid yang boleh mempercepatkan pereputan tulang penggunanya.

Ia juga mengandungi ubat penahan sakit untuk memberi kesan kelegaan dalam tempoh sementara.

“Pemeriksaan makmal mendapati ubat maut itu turut dicampur bahan tidak munasabah seperti nikel, arsenik, serbuk batu-bata dan asid borik,” katanya.

Menurutnya, penemuan pelbagai bahan beracun itu mendedahkan pengguna terhadap penyakit berbahaya selain risiko mati mengejut.

“Pengeluar ubat papan itu mendakwa ia berupaya meningkatkan nafsu seks, menguatkan pinggang dan lutut, memulihkan kebas kaki dan tangan serta menghilangkan lesu badan.

“Bagaimanapun, ia hanya kesan sementara berikutan kandungan steroid sebelum pengguna ketagih untuk memakannya berulang kali,” kata sumber itu lagi.

Katanya, pengambilan steroid berlebihan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti muka bengkak, berat badan naik mendadak, tekanan darah meningkat, tumbesaran terbantut, tulang rapuh (osteoporosis) selain komplikasi pada mata seperti katarak dan glaukoma.

Bagi pengguna yang mempunyai penyakit lain, kesannya boleh membawa maut apabila bahan aktif dalam ubat palsu itu saling bertindak dengan ubat sebenar yang diambil.

“Pesakit juga mungkin mengalami pelbagai kesan sampingan seperti alahan, pendarahan dalam badan atau reaksi lain,” katanya.

Sumber itu berkata, pengguna yang ingin mengambil ubat sepatutnya memastikan produk mempunyai nombor pendaftaran Kementerian Kesihatan yang bermula dengan MAL.

Ubat bukan racun ditanda huruf ‘X’ di hujung nombor pendaftaran manakala ubat tradisional ‘T’, ubat terkawal ‘A’ dan kosmetik ‘K’.

Selain itu, semua produk mesti mempunyai label ‘Hologram Meditag’ yang disahkan Kementerian Kesihatan kecuali produk kosmetik dan produk penjagaan luaran iaitu antijerawat, antikelemumur, penjagaan mulut, perlindungan kulit dan antibakteria.

“Sikap pengguna yang terlalu taksub dengan ubat perangsang seks menyebabkan pelbagai jenama ubat haram sebegini terus muncul di pasaran,” katanya.

Peniaga yang menjual ubat mengandungi bahan dilarang boleh didakwa mengikut Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau satu tahun penjara bagi individu.

Mengikut Akta Jualan Dadah 2000, individu boleh dikenakan denda maksimum RM25,000 manakala pekilang denda maksimum RM50,000 atau tiga tahun penjara bagi kesalahan pertama dan RM100,000 serta lima tahun penjara bagi kesalahan kedua.

No comments: