SALAM IKHLAS PENUH UKHWAH!



Friday, June 6, 2008

Kerabu Nipah Antioksidan




Rasanya enak dan ia mudah disediakan sama ada untuk dihidangkan kepada tetamu, keluarga mahu pun pada majlis kenduri kendara.


PENDUDUK Pulau Pantai Suri, yang terletak kira-kira 30 minit dengan menaiki bot dari Pengkalan Kok Majid, percaya memakan kerabu nipah yang merupakan makanan tradisional dari Tumpat, Kelantan ini mampu melambatkan proses penuaan.

Jika sebelum ini, Kelantan terkenal dengan nasi kerabu, namun kemunculan kerabu nipah yang tidak asing dalam kalangan penduduk Pulau Suri mempunyai tarikan yang tersendiri.

Diperbuat daripada ramuan utama buah nipah muda yang mudah didapati di pesisiran pantai, ia memang senang disediakan untuk makanan seisi keluarga, tetamu dan pengunjung.

Kerabu nipah dipercayai mengandungi antioksidan yang dapat melambatkan proses penuaan.

"Makan kerabu nipah boleh awet muda. Sebab itu, saya tidak nampak seperti usia sebenar," seloroh salah seorang penduduk Kampung Pantai Suri, Roselidar Mohd Zali, 28, yang mempunyai wajah keanak-anakan.

Resipi kerabu nipah yang sudah wujud lebih dua dekad ini sangat sedap dimakan beramai-ramai.

Kerabu nipah selalunya dihidangkan pada majlis kenduri kahwin di Kelantan. Penyediaan yang ringkas dan kelazatannya membuatkan ia menjadi makanan mesti di Pantai Suri.

"Paling lama penyediaannya mengambil masa 15 minit sahaja. Kerabu nipah dicampur dengan air lada hitam untuk menjadikannya lebih menyelerakan," kata Zainab Mamat, 48.

Menurutnya, buah nipah akan dilenyek sehingga hancur untuk digaul bersama ulam dan bahan-bahan yang sudah diricih seperti ikan air tawar, kerisik, air asam limau serta santan.

"Sebelum kerabu nipah siap digaul bersama bahan-bahan lain, rasanya akan sedikit kelat kerana tidak cukup perasa," katanya.

"Apabila ada kenduri kahwin, tempahan awal nipah akan dibuat kepada pembekal," kata pula Faridah Yusof, 42.

Penyediaan kerabu nipah pada kenduri kahwin akan dibuat dalam kuantiti yang banyak atau berganda mengikut jumlah jemputan.

"Selalunya warga emas akan menyediakannya. Kami akan buat beramai-ramai," katanya.

Kerabu nipah mampu menyaingi kelazatan makanan tradisional lain yang terdapat di Kelantan seperti tahi itik, buah tanjong, akok, jala mas dan lompat tikam.

"Di sini, tidak sah kalau makan siang atau malam tanpa kerabu nipah. Ia seolah-olah perkara wajib yang mesti ada pada setiap pembuka selera," kata Rosmira Mohd Zali, 23.

Keunikan kerabu nipah ini mampu menarik lebih ramai pelancong.

"Kerabu nipah jarang terdapat di homestay-homestay lain. Selalunya penduduk yang tinggal di pulau-pulau saja yang akan membuatnya.

"Ini kerana pokok nipah yang tumbuh meliar di pesisiran pantai digunakan sepenuhnya oleh penduduk kampung untuk membuat sesuatu yang baru," kata seorang penduduk, Mohd Zali Deris, 50.

Sementara itu, Ketua Kampung Pantai Suri, Osman Ibrahim berkata, Pantai Suri merupakan sebuah perkampungan yang masih berpegang teguh kepada agama, adat dan seni budaya asli.

Sementara itu, pengalaman yang pastinya tidak akan dilupakan oleh pelancong yang datang di homestay Kampung Pantai Suri ini ialah suasana kampung dan keramahan penduduknya.

"Ketenangan dapat dirasai di sini," luah Nazlia Iqbal, 23, dari Kuala Lumpur.

Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan telah menguar-uarkan pengisian program pelancongan di negeri itu sepanjang tahun, bersempena dengan kempen Tahun Melawat Kelantan 2008.

Antaranya ialah pameran 100 jenis produk berasaskan kelapa dan persembahan tradisional kebudayaan Kelantan di Pantai Cahaya Bulan baru-baru ini.

Bulan Citrawarna Aneka Warna, Pesta Joran, Pesta Wau dan banyak lagi aktiviti akan dijalankan seperti yang tercatat dalam kalendar acara negeri Kelantan.

Maklumat lanjut mengenai program Tahun Melawat Kelantan, bolehlah layari www.tic.kelantan.gov.my atau talian 09-748 5534/748 3543. - Bernama

No comments: